Monday, 23 January 2012

Karangan Gambaran/Keperihalan

Kakak anda telah melangsungkan majlis perkahwinannya pada cuti sekolah baru-baru ini. Perihal peristiwa tersebut. Panjang karangan anda itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

Majlis perkahwinan kakak sulungku berlangsung pada hari Sabtu, 28 Mei 2005, iaitu pada musim cuti persekolahan penggal pertengahan tahun yang lalu. Aku tidak sabar-sabar menunggu hari tersebut kerana pasti banyak saudaraku yang dating. Sangkaanku memang tepat. Dua minggu sebelum tarikh perkahwinan, mereka telah datang menghantar barang-barang mentah seperti beras, pulut, tepung, dan minyak masak. Mereka mengatakan bahawa barang-barang tersebut adalah untuk meringankan perbelanjaan yang akan ditanggung oleh ibu bapaku.

Tiga hari sebelum majlis perkahwinan, beberapa orang pemuda kampungku telah datang ke rumahku. Mereka mendirikan khemah untuk memasak dan khemah tetamu. Jiran tetanggaku terutama kaum wanita menghiasi bilik pengantin dan pelamin. Mereka sangat kreatif menyusun bunga, mengatur perabot, dan memadankan corak langsir, alas meja, dan pelamin supaya kelihatan menarik.

Sehari sebelum kenduri, kaum wanitalah yang paling sibuk kerana mereka ditugaskan untuk menyediakan rempah ratus untuk memasak manakala kaum lelaki memotong daging lembu dan daging ayam. Kerja-kerja untuk kaum lelaki bermula pada pukul 2.00 petang. Daging-daging itu dimasukkan ke dalam peti sejuk sebelum dimasak.

Pada hari kenduri suasana di rumahku riuh-rendah. Jiran-jiran datang sebelum pukul lima pagi. Mereka meminta tuan rumah melonggokkan semua bahan mentah seperti rempah, gula, kunyit, asam, belacan, halia, garam, daging, dan sayur di bawah khemah memasak agar memudahkan mereka untuk memasak. Dari atas rumah aku telah dapat menghidu bau masakan yang sungguh enak. Maklumlah mereka memang handal memasak dan sering memasak untuk majlis perkahwinan yang diadakan di kampungku.

Kira-kira pukul 2.00 petang, rombongan pengantin lelaki tiba. Mereka disambut dengan paluan kompang. Selepas itu, raja sehari diarak ke pelamin. Pasangan pengantin kelihatan sama cantik sama padan, bak kata pepatah seperti pinang dibelah dua. Mereka kemudian ditepung tawar oleh sanak saudara kedua-dua belah pihak. Selepas upacara persandingan, pasangan menjamu selera bersama-sama rombongan pengantin lelaki dan dan tetamu yang lain.

Menjelang jam 5.00 petang, majlis kenduri selesai. Walaupun aku letih tetapi aku puas kerana dapat menjayakan majlis perkahwinan kakak sulungku. Aku juga gembira kerana mendapat seorang abang ipar yang sangat peramah. 

No comments:

Post a Comment